Ketepikan politik ketika isu kalimah `Allah’ ke mahkamah, kata pengarang Herald

Ia tidak berniat untuk dijadikan isu besar dalam negara. Sama ada penganut Katolik boleh menggunakan kalimah `Allah’ untuk merujuk kepada tuhan mereka dalam akhbar mingguan, Herald, akan didengar lagi di mahkamah esok.

“Ini adalah mengenai penggunaan perkataan `Allah’ dalam akhbar mingguan, bukan mengenai Allah, tetapi ia memberi kesan kepada sesuatu yang lain kini. Kami mahu ia tidak dipolitikkan,” kata paderi berusia 68 tahun yang juga pengarang Herald, Father Lawrence Andrew.

Tetapi, beliau tidak akan dapat apa yang diharapkan supaya isu itu tidak dipolitikkan.

Ini kerana, kumpulan pendesak hak Melayu Perkasa, diketuai pemimpin yang ditolak pada pilihan raya umum, sudah mengumumkan bahawa mereka akan berkumpul di Istana Kehakiman esok untuk turut sama mendengar keputusan kerajaan menghalang Herald menggunakan perkataan itu.

Dalam satu kenyataan pada Isnin lalu, Perkasa mempelawa semua umat Islam untuk menyertai kumpulan itu esok pagi untuk `menunjukkan sokongan terhadap usaha mempertahankan perkataan `Allah’ daripada diperguna dan disalah guna oleh penganut agama lain’.

Maka, adakah paderi tahu apa yang patut dijangkakan esok, dalam mahkamah dan di luar apabila penyokong Perkasa berkumpul menunggu di luar mahkamah?

“Saya menyerahkannya kepada Tuhan, tiada apa yang patut ditakutkan,” kata Andrew.

Katanya, atas alasan itu beliau memberitahu penganut Katolik yang menawarkan diri untuk datang ke mahkamah memberi sokongan supaya `tidak perlu datang, berdoa saja dari mana anda berada’.

Terdahulu, penganut Sikh mahu terbabit dalam kes itu kerana perkataan `Allah’ turut terkandung dalam Buku Suci mereka.

Tetapi Andrew berkata, gereja meminta Sikh tidak terbabit dalam kes mahkamah kerana tidak mahu perkara itu terkeluar daripada konteks.

“Kita hanya mencabar kerajaan mereka mereka mengugut untuk membatalkan permit. Kita beritahu penganut Sikh bahawa terlalu ramai pihak yang masuk dalam kes itu tidak akan dapat membantu memperbaiki keadaan,” katanya.

Pada Januari 2008, Kementerian Dalam Negeri meluluskan permit penerbitan Herald, dengan syarat penggunaan perkataan `Allah’ dilarang dan perkataan `Terhad’ ditulis di muka depan bertujuan ia diedarkan hanya kepada penganut Kristian.

Menteri pada masa itu berkata, ia perlu dilakukan sedemikian untuk melindungi keselamatan nasional dan mengelak salah faham dan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Ketua Paderi Roman Katolik, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit Herald memfailkan permohonan pada bulan berikutnya kerana mendapati keputusan menteri itu tidak sah dan menyatakan bahawa penggunaan perkataan `Allah’ tidak eksklusif untuk Islam.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Bee Lan membenarkan permohonan gereja dan membatalkan halangan Kementerian Dalam Negeri, mengisytihar ia tidak sah.

Penghakiman itu mencetuskan serangan terhadap beberapa gereja di seluruh negara. Kejadian pertama ialah pembakaran gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, kurang seminggu selepas keputusan Mahkamah Tinggi.

Serangan itu menarik perhatian antarabangsa dan menyebabkan pemimpin di kedua-dua pihak parti politik dalam negara terkejut dan marah, dengan pentadbiran Najib berjanji untuk mengambil tindakan terhadap pelaku serangan itu.

Andrew berkata, dahulu ketika Herald diarah memberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri kerana penggunaan perkataan `Allah’, mereka cuba untuk berbincang, tetapi tidak berhasil.

Selepas penghakiman pada 2009, kerajaan membuat rayuan. Gereja memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan itu dan inilah kes yang akan didengar esok di Mahkamah Rayuan.

Andrew berkata, mengenai permohonan membatalkan rayuan kerajaan:”Saya tidak fikir mereka akan menjangka kita melakukan semua ini, tetapi kita sudah menunggu lama selepas mereka kata akan merayu, tetapi tidak ada apa yang berlaku.

“Apabila tarikh akhirnya ditetapkan, pengurusan kes silih berganti, jadi kami membuat keputusan untuk membatalkan permohonan itu,” katanya.

Di mahkamah esok, gereja mempertahankan 10 penyelesaian yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada April 2011, sebelum pilihan raya negeri Sarawak, membenarkan Katolik menggunakan perkataan `Allah’.

Antara perkara lain, perdana menteri berkata Kristian bebas membawa masuk dan menggunakan kitab Injil berbahasa Melayu.

Gereja Katolik bertegas berdasarkan kepada penyelesaian itu membenarkan buku import yang memang menggunakan perkataan `Allah’ di dalamnya dibawa masuk ke dalam negara, adalah tidak logik jika kerajaan tidak membenarkan penggunaannya dalam Herald.

Bekas Menteri dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut memfailkan afidavit awal bulan ini bagi pihak Putrajaya untuk mencabar permohonan pembatalan itu.

Bagi Andrew, perkara terbaik yang timbul daripada semua yang berlaku ialah `gereja jadi lebih sedar mengenai tanggungjawabnya’.

“Ini adalah tanggungjawab kami untuk mengekalkan kebebasan beragama, maka gereja kini dilihat seperti pelindung terhadap hak individu. Ia mahu melindungi hak golongan tertindas,” katanya.

“Kami hanya mencari keadilan dan pembetulan. Mereka mengancam untuk mengambil perkataan yang kami gunakan, kami kata tunggu dulu. Mereka mahu kami mengubah `Allah’ kepada `Tuhan’. Saya tidak boleh melakukannya. Saya bukan pengarang kitab Injil dan Herald memetik dari Injil,” kata paderi itu. – 21 Ogos, 2013.

Loading...

Most Popular Stories