Pemilihan Umno, peluang membersihkan parti daripada pemimpin ‘Cap Ayam’ - Shahbudin Husin

Pemilihan Umno yang akan diadakan secara serentak pada 19 Oktober depan untuk memilih pemimpin di peringkat bahagian dan pusat bukan saja penting untuk kelangsungannya menghadapi pilihan raya akan datang, bahkan juga merupakan ujian kepada ahli peringkat akar umbi yang pertama kali diberi peluang memilih pemimpin serta mencorakkan parti itu.

Jika dulu hanya kir-kira 2,500 perwakilan terpilih yang akan menentukan pemimpin di peringkat atasan tetapi kini peluang itu sudah diperluaskan kepada kira-kira 150,000 perwakilan daripada lebih 20,000 cawangan Umno di seluruh negara.

Makanya, peluang ini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dan mereka yang berjumlah lebih 150,000 ini seharusnya tidak lagi mengikut acuan yang pernah digunakan oleh 2,500 perwakilan sebelum ini yang begitu mudah diatur serta ditentukan telunjuknya.

Jika sebelum pindaan perlembagaan dan peraturan baru dalam memilih pemimpin ini diperkenalkan, pemimpin atasan terlihat begitu mudah mencorakkan hala tuju pemikiran perwakilan untuk memilih pemimpin yang perlu dinaikkan atau dijatuhkan melalui kuasa wang, projek dan sebagainya, seharusnya dengan pengenalan kaedah baru ini, perwakilan akar umbi mempunyai kebebasan sendiri menentukan pemimpin mana yang mereka kehendaki atau sebaliknya.

Sebenarnya itulah semangat yang ingin diwujudkan apabila peraturan baru ini diperkenalkan iaitu dengan menghapuskan kouta pencalonan, memberi peluang kepada lebih ramai perwakilan menentukan pemimpin dan menjadikan mereka tidak mudah dibeli oleh sesiapa.

Walaupun terdapat pemimpin di peringkat pusat yang bersetuju dengan Najib mengenai pengenalan peraturan baru ini seakan-akan sudah terlupa atau sengaja lupa mengenai hasrat dan semangat itu kerana kini berebut-rebut pula mengeluarkan kenyataan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, ahli dan perwakilan akar umbi tidak sepatutnya takut untuk terus kekal berpegang kepada semangat itu.

Kali inilah ahli dan pemimpin akar umbi perlu menunjukkan bahawa bukan mereka yang memerlukan pemimpin atasan tetapi pemimpin atasan yang lebih memerlukan mereka.

Lagi pula, semangat demokrasi yang sentiasa subur dan proses memilih pemimpin yang sentiasa terbukalah sebenarnya yang menjadi ramuan mana-mana parti politik dapat bertahan lebih lama dan serta sentiasa mendapat sokongan berterusan daripada rakyat.

Walaupun Mahathir berjaya mengelakkan pertandingan sejak 1988 dengan memperkenalkan sistem kouta dan pelbagai kekangan lainnya, tetapi nasib buruk yang berlaku kepada Umno hari ini seperti kurangnya sokongan daripada golongan muda, profesional dan terpelajar adalah sebahagiannya berpunca daripada peraturan yang tidak demokratik yang beliau perkenalkan itu.

Ia menjadikan ramai yang tidak berminat kepada Umno dan memilih parti-parti lain untuk meneruskan perjuangan mereka sedangkan jika Umno sentiasa terbuka sejak dulu dan kerakusan Mahathir pula dapat dikawal, kekuatan pembangkang tidaklah sehebat seperti sekarang ini.

Kini dengan peraturan baru dalam memilih pemimpin sudah diperkenalkan, bukan saja kebebasan sepenuhnya perlu diberikan kepada pemimpin cawangan dan akar umbi menentukan pilihan mereka, bahkan pemimpin atasan juga seharusnya berhenti daripada cuba berlagak pandai dengan mengemukakan cadangan tertentu untuk diikuti oleh pemimpin di peringkat akar umbi.

Berilah peluang dan kebebasan kepada kira-kira 150,000 perwakilan ini membuat pilihan, sesuai dengan semangat pindaan perlembagaan dan peraturan baru ini diperkenalkan.

Proses pemilihan kali ini yang pertama kali mengguna-pakai sistem baru seharusnya juga dimanfaatkan untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak, berwibawa, sesuai serta boleh membawa Umno menghadapi cabaran yang lebih getir dalam pilihanraya ke 14 nanti.

Dengan cengkaman Umno dan BN semakin menipis di hati rakyat, terutama di kawasan bandar manakala bandar-bandar baru pula semakin pesat diwujudkan, cabaran dalam plihan raya umum lima tahun lagi tidaklah semudah yang dijangka.

Apatah lagi, sekarang ini begitu banyak pertikaian rakyat terhadap pemimpin tertentu yang dipilih menganggotai kerajaan kerana mereka dilihat tidak begitu serius menjaga kepentingan rakyat sebagaimana yang seharusnya. Kenyataan atau komen yang diberikan seringkali tidak matang, separuh masak dan melukakan hati rakyat.

Manalah rakyat tidak tersinggung dan kecil hati, apabila harga ayam mendadak naik di bulan puasa dan menjelang sambutan Hari Raya lalu, menteri yang bertanggungjawab mengenai perkara itu mencadangkan supaya jangan makan ayam, sebaliknya beralih kepada makan ikan atau daging pula sedangkan harga ikan dan daging jauh lebih mahal lagi.

Nampak sangat menteri berkenaan tidak tahu apa-apa tentang harga barangan pengguna.

Seorang lagi menteri yang bertanggungjawab terhadap ayam pula meminta membeli ayam di pasar tani kerana kononnya harganya lebih murah sedangkan ada pasar tani yang menjual dengan harga lebih mahal lagi. Lagi pula, bukan semua tempat ada pasar tani.

Apabila harga sayur naik pula, ada pula menteri yang mencadangkan rakyat supaya menanam sayur sedangkan kerja menteri sepatutnya mengawal dan menentukan harganya pada kadar yang tidak terlalu membebankan rakyat, bukanlah menyuruh rakyat menanam sayur sebagai jalan penyelesaiannya. Lagi pula, jika tinggal di bandar yang kekurangan tanah atau tinggal di flat dan semua sibuk dengan urusan kerja, kerja menamam sayur mustahil sama-sekali untuk dilakukan.

Begitu juga, apabila ada rakyat mempertikaikan undang-undang dan peraturan negara ini, terdapat menteri yang begitu bongkak menyarankan berpindah ke negara lain atau tinggal di dalam hutan.

Apabila jenayah meningkat dan kejadian tembak-menembak berleluasa, menteri yang berkaitan juga tidak menunjukkan keseriusan untuk menangani kejadian itu, sebaliknya lebih sibuk mahu mengembalikan undang-undang lama seperti Akta Hasutan dan Ordinan Darurat sedangkan ketika Najib mencadangkan pemansuhannya dulu, tidak pula kedengaran suara menteri berkenaan mempertahankan undang-undang itu.

Kalau diperhatikan, begitu ramai sebenarnya pemimpin Umno dan kerajaan yang bercakap dan bertindak ikut suka hati dan seolah-olah tidak lagi mempunyai sentuhan dengan kepentingan rakyat. Mereka ini tidak ubah seperti pemimpin "cap ayam" saja layaknya.

Terbaru pada hari ini, terdapat pula seorang menteri telah melantik anaknya yang sebelum ini penuh dengan kontroversi sebagai pegawai khas di kementeriannya sendiri. Keadaan ini tentunya menambahkan lagi rasa jengkel rakyat terhadap Umno dan kerajaan dan seolah-olah kerajaan pimpinan Najib membenarkan amalan nepotisme secara terang-terangan.

Dalam masa yang sama, situasi ini juga menambahkan lagi label "cap ayam" dalam kabinet Najib.

Jika Umno ingin terus berada di hati rakyat, adalah menjadi tanggungjawab perwakilan Umno yang berjumlah seramai lebih 150,000 orang kali ini untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin "cap ayam" ini dan menggantikannya dengan mereka yang jauh lebih berwibawa, ikhlas, amanah serta berjiwa rakyat. – 15 Ogos, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Loading...

Most Popular Stories

Makanation